Tuesday, January 7, 2014

Sintaksis

Definisi
Sintaksis ialah bidang ilmu linguistik yang mengkaji pembinaan ayat. Sesuatu ayat terbina daripada rentetan kata yang digabungkan dan disusun mengikut rumus atau hukum tatabahasa. Hal ini bermakna, sintaksis dapat juga diertikan sebagai bidang yang menkaji hukum atau rumus tatabahasa yang digunakan untuk membentuk ayat dalam sesuatu bahasa.

Menurut Nik Safiah Karim (2008), sintaksis dapat ditakrifkan sebagai bidang ilmu bahasa yang mengkaji bentuk, struktur, dan binaan atau konstruksi ayat.. sintaksis juga dikenali sebagai kajian tentang hukum atau rumus tatabahasa yang mendasari kaedah penggabungan dan penyusunan perkataan atau kelompok perkataan untuk membentuk ayat dalam sesuatu bahasa.
•      Bidang ilmu bahasa yang mengkaji proses pembinaan ayat.
•      Melibatkan kajian tentang bentuk, struktur dan binaan ayat serta hukum atau rumus tatabahasa mengenai cara-cara penggabungan ayat.
•      Selain itu, kajian sintaksis juga melibatkan aspek perbezaan binaan ayat melalui jenis-jenis ayat dan ragam ayat.


 Frasa
Frasa Nama
     Definisi frasa nama( FN ) ialah binaan yang dari sudut nahu boleh berdiri daripada satu perkataan atau beberapa perkataan yang boleh berfungsi sebagai satu konstituen dalam binaan ayat. Binaan ayat dasar dalam bahasa Melayu terdiri daripada dua konstituen utama ayat-ayat dasar bahasa Melayu terdiri daripada:
a) FN + FN
b) FN + FK
c) FN + FA
d) FA + FS

     Frasa nama boleh terdiri daripada satu perkataan sahaja ataupun beberapa perkataan. Selain konstituen subjek dan konstituen predikat frasa nama, frasa nama juga boleh hadir dalam konstituen objek, iaitu konstituen yang hadir sesudah kata kerja transitif dalam frasa kerja(FK). Contohnya:

a) Orang itu memanggil saya.
b) Mereka semua melambaikan tangan.

Satu lagi tempat yang diduduki oleh frasa nama adalah di bahagian unsur nama dalam frasa sendi nama. Frasa sendi nama boleh wujud sebagai unsure dalam predikat frasa sendi nama(FS). Contohnya:

a) Mereka di Kuala Lumpur.
b) Hadiah itu daripada Ahmad.

Binaan frasa nama boleh terbentuk daripada kata nama juga, iaitu kegiatan,aktiviti,tabiat,pekerjaan,perbuatan dan warna. Namun jika dipandang dari sudut kehadirannya,jenis-jenis kata kerja dan kata adjektif dalam ayat juga boleh dianggap sebagai inti subjek frasa nama. Frasa nama pada hakikatnya dibentuk oleh kata nama,tetapi diperingkat kewujudannya inti frasa nama itu dapat juga dibentuk oleh kata kerja dan kata adjektif.

 Frasa kerja.
Frasa kerja terdiri daripada kata kerja inti atau kata kerja inti dengan unsur-unsur lain. Ada lima unsur yang membentuk frasa kerja. Unsur-unsur tersebut ialah:

a) Kata kerja inti ( transitif dan tak transitif )
b) Kata bantu ( aspek dan ragam )
c) Objek
d) Pelengkap

Keterangan unsur-unsur ini disusun dalam rentetan seperti jadual di bawah:
Kata bantu
Kata kerja inti
Transitif dan tak transitif
Pelengkap
Objek
Keterangan

Frasa kata kerja terdiri daripada kata kerja transitif dan kata kerja tak transitif.
i. Kata kerja transitif

Perbuatan dalam kata kerja transitif dilakukan oleh kata nama pelaku dan mengenai kata nama objek. Jadi kata kerja transitif dalam frasa kerja memerlukan satu atau dua kata nama sebagai objek.

ii. Kata kerja tak transitif

Kata kerja tak transitif ialah kata kerja yang tidak memerlukan penyambut atau objek sesudahnya. Semua katakerja tak transitif ini boleh diikuti oleh unsur keterangan yang berfungsi memberi maklumat tambahan.

Frasa Adjektif.

    Frasa adjektif ialah susunan perkataan yang terdiri daripada satu atau beberapa perkataan yang mengandungi kata sifat atau adjektif sebagai kata intinya. Kata inti ini merupakan bahagian utama dalam susunan frasa tersebut. Frasa adjektif yang dibincangkan ialah yang berfungsi sebagai predikat dan juga sebagai unsur keterangan dan unsur penerang dalam predikat. Sebagai unsur keterangan,kata adjektif hadir sesudah kata kerja dan sebagai unsur penerang,kata adjektif hadir sesudah kata kerja dan sebagai unsur penerang, kata adjektif hadir sesudah kata nama.

    Selain itu juga, frasa adjektif boleh terdiri daripada satu perkataan adjektif sahaja, atau deretan perkataan yang mengandungi kata adjektif dengan kata bantu dan penguat, sama ada di hadapan atau di belakangnya.

Frasa Sendi Nama
    Frasa sendi nama ialah satu binaan dalam ayat yang terdiri daripada satu kata sendi nama dan satu frasa yang menjadi pelengkap kepada kata sendi nama itu. Kata sendi nama ialah bentuk morfem atau kata yang letaknya di hadapan frasa nama. Antara sendi nama yang sering digunakan dalam bahasa Melayu termasuklah: di, ke, dari, daripada, pada, kepada, untuk, akan, bagi, hingga, oleh, dengan, tentang, sampai dan sebagainya. Frasa sendi nama boleh juga, sebagai pilihan, didahului oleh kata bantu. Binaan frasa sendi nama boleh terdiri daripada salah satu binaan yang berikut:

1. Kata sendi nama + Frasa nama
2. Kata sendi nama + Frasa nama arah + Frasa nama
3. Kata sendi nama + ( kata nama arah ) + Frasa nama +
( frasa keterangan ).

Binaan Ayat

Ayat dasar
     Ayat dasar ialah ayat yang menjadi dasar atau sumber bagi pembentukan semua ayat yang lain dalam sesuatu bahasa. Walaupun terdapat berbagai-bagai jenis ayat dari segi binaan dan susunannya, dan dari segi panjang pendeknya dalam suatu bahasa, namun jika dikaji asas binaanya maka semua ayat itu boleh dikesan rangka dasarnya sebagai berasal daripada beberapa pola tertentu. Pola-pola rangka ayat itulah yang disebut pola ayat dasar bagi sesuatu bahasa. Daripada pola-pola ayat tersenut,terbit ayat yang lain sama ada ayat tunggal, ayat majmuk, ayat pendek atau ayat panjang.
Ayat dasar terbahagi kepada empat pola iaitu:
Pola 1 : Frasa nama + Frasa nama ( FN + FN )
Pola 2 : Frasa nama + Frasa kerja ( FN + FK )
Pola 3 : Frasa nama + Frasa adjektif ( FN + FA )
Pola 4 : Frasa nama + Frasa sendi nama ( FN + FS )
4.2 Ayat Tunggal
 Ayat tunggal ialah ayat yang terbina daripada satu klausa sahaja, iaitu mengandungi satu konstituen subjek dan predikat. Ayat tunggal juga terbit daripada ayat dasar. Ayat tunggal terbina daripada dua bahagian iaitu subjek dan predikat. Subjek ialah bahagian ayat yang diterangkan dan predikat ialah bahagian ayat yang menerangkan subjek. Misalnya, dalam ayat Ali berjalan kaki, Ali ialah subjek kerana menjadi bahagian ayat yang diterangkan manakala berjalan kaki pula merupakan predikat yang menjadi bahagian ayat yang menerangkan subjek tersebut. Subjek ayat dasar terdiri daripada frasa nama yang terbentuk daripada salah satu unsur yang berikut:

· Kata nama
· Kata ganti nama
· Kata kerja yang berfungsi sebagai kata nama
· Kata adjektif yang berfungsi sebagai kata nama.

Ayat majmuk ( Gabungan dan Pancangan )
     Ayat majmuk ialah ayat yang dibina dengan mencantumkan dua ayat tunggal atau lebih, dan percantuman ayat-ayat itu disusun mengikut cara tertentu sehingga menjadikan ayat baharu. Ayat majmuk boleh dikategorikan kepada tiga jenis yang utama iaitu:
1. Ayat majmuk gabungan
2. Ayat majmuk pancangan
3. Ayat majmuk campuran

 Ayat Majmuk Gabungan
    Ayat majmuk gabungan ialah ayat yang terdiri daripada dua ayat atau lebih yang dijadikan satu dengan menggabungkan atau mencantumkan ayat-ayat tersebut dengan kata hubung seperti dan, atau, tetapi dan sebagainya. Ayat-ayat yang disambungkan itu setara sifatnya, iaitu ayat-ayat itu sama taraf dan boleh berdiri sendiri. Hubungan antara satu ayat dengan ayat lain wujud oleh sebab ayat-ayat tersebut disusun berturut-turut. Ayat-ayat ini boleh juga disambungkan tanpa kata hubung. Apabila ini berlaku,nada suara berfungsi sebagai penanda.

Ayat Majmuk Pancangan
    Dalam ayat majmuk pancangan terdapat satu ayat utama atau ayat induk. Selain itu, terdapat juga beberapa ayat kecil lain yang dipancangkan di dalam ayat induk menjadi sebahagian daripada ayat induk itu.
Terdapat tiga jenis ayat majmuk pancangan dalam bahasa Melayu yang ditentukan oleh cara pembentukannya dan jenis ayat yang dipancangkan iaitu:
i. Ayat relatif
ii. Ayat komplemen
iii. Ayat keterangan

Ragam ayat
Ayat aktif
   Pada dasarnya,ayat aktif mempunyai susunan yang lazim. Contohnya; Ali sedang membaca buku , Ali merupakan subjek bagi ayat ini dan perkataan Ali ditegaskan dalam penggunaan ayat aktif.

Ayat Pasif
    Ayat pasif pula merupakan ayat yang susunannya telah disongsangkan. Ayat pasif kebanyakannya digunakan dalam kehidupan seharian kita. Pembentukan ayat pasif adalah untuk memberi penegasan kepada objek. Dalam ayat pasif, penegasan banyak diberikan kepada objek, contohnya; buku dibaca oleh Ali. Perkataan buku ialah objek dan ianya ditegaskan dalam penggunaan ayat pasif. Dalam ayat pasif terdapat beberapa kategorinya iaitu:
i. Ayat pasif orang pertama
ii. Ayat pasif orang kedua
iii. Ayat pasif orang ketiga.