Sunday, February 9, 2014

TOPIK 5

FRASA KERJA BAHASA MELAYU

Binaan Frasa Kerja
Binaan Frasa Kerja Tanpa Objek
Binaan Frasa Kerja dengan Objek


Konsep Frasa Kerja Bahasa Melayu

            Frasa Kerja  menurut Siti Hajar Abdul Aziz. (2008) ialah frasa yang terdiri daripada kata kerja sebagai unsur intinya. Frasa kerja bertugas sebagai predikat dalam susunan ayat biasa.
Menurut Abdullah Hassan et.al (2006), frasa kerja terdiri daripada satu atau beberapa perkataan dengan kata kerja berfungsi sebagai fungsinya. Frasa kerja wujud dalam sesuatu ayat dalam binaan predikat.

Contoh :

Ayat
Subjek
Predikat Frasa Kerja
(1). Emak
(2). Emak  Ahmad
(3). Pemuzik itu
(4). P.Ramlee
menjemur kain.
menjual sayur di pasar.
meniup  saksofon.
mencipta  lagu itu.


Binaan Frasa Kerja

        Binaan kata kerja terdiri daripada kata kerja tak transitif atau kata kerja transitif. Kata kerja tak transitif ialah kata kerja yang tidak memerlukan objek sebagai penyambut.  Kata kerja tak transitif juga dikatakan sebagai kata kerja yang tidak memerlukan frasa nama  sebagai objek (penyambut) untuk melengkapkannya. 


 Frasa Kerja Tanpa Objek

         Frasa kerja tanpa objek merupakan jenis frasa yang tidak memerlukan penyambut (objek) dan boleh berdiri sendiri dalam sesuatu binaan predikat.

Contoh :

(1). Faisal tidur lena.
(2). Budak nakal itu terjatuh lagi.
(3). Dia selalu bergaduh.

             Berdasarkan contoh ayat di atas, ayat (1) , (2) dan (3) menunjukkan kata kerja tidur, terjatuh dan bergaduh. Kata kerja tersebut tidak memerlukan atau tidak tidak diikuti oleh frasa nama sebagai objek atau penyambut. Namun kata kerja ini boleh diikuti oleh unsur pelengkap dan penerang.

Contoh:

(4). Faisal tidur lena di bilik tidur.
(5). Budak nakal itu terjatuh lagi setelah terpijak kulit pisang.
(6). Dia selalu bergaduh sesama rakan sekolah.

        Dalam ayat (4), (5), dan (6), kata kerja telah diberi unsur pelengkap dan penerang. Biarpun begitu, ayat ini masih mengekalkan konsep kata kerja tak transitif (tanpa objek)
Pelengkap ialah  perkataan yang hadir selepas kata kerja transitif dan berfungsi untuk melengkapkan kata kerja tersebut.


Frasa Kerja Dengan Objek

           Frasa kerja dengan objek  dikenali juga sebagai frasa kerja transitif.  Frasa kerja transitif mempunyai dasar kata kerja transitif. Kata kerja transitif pula ialah kata kerja yang memerlukan objek, Kata kerja jenis ini mesti diikuti oleh frasa nama sebagai objek atau penyambut untuk melengkapkan kata kerja tersebut.

Contoh:

Frasa Kerja
Kata Kerja Transitif
Penyambut
Menaikkan
bendera
menganyam
tikar
membaiki
radio

Contoh ayat lengkap:
(1).    Pelajar itu menaikkan bendera semasa perhimpunan.
(2).    Ibu menganyam tikar setiap hari.
(3).    Mahmud membaiki radio yang telah rosak.
        Frasa kerja juga boleh menerima unsur keterangan.  Dalam ayat (1), (2) dan (3), frasa yang bergaris ialah unsur keterangan yang mengikuti objek. Unsur keterangan juga boleh terdiri daripada frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif dan frasa sendi nama. Dalam konteks ini, kadang-kala terdapat kekeliruan dalam kalangan pengguna bahasa menggunakan frasa kerja sebagai predikat. Hal yang demikian berlaku  dalam proses membina  sesuatu ayat.

Contoh kesilapan dapat dilihat dalam ayat  (4) hingga ayat  (8).

(4). Zamani akan melaporkan kepada warden  asrama tentang kejadian itu.
(5).Halijah  menggenggam  erat tangan suaminya.
(6).Datuk Amran  menghasilkan banyak produk berasaskan herba.
(7). Lee Chong Wei  menghantar  dengan tenang bulu tangkis ke jaring.
(8). Tuan Pengarah  sedang membincangkan tentang isu pendidikan.

Semua ayat di atas tidak menepati sistem penggunaan kata/frasa kerja transitif.
Ayat-ayat yang tersebut di atas harus ditulis begini: (rujuk ayat  9 – 13).

(9). Zamani akan melaporkan  kejadian  itu  kepada warden  asrama
(10). Halijah  menggenggam   tangan suaminya dengan erat.
(11). Datuk Aman  menghasilkan produk berasaskan herba.
(12).  Lee Chong Wei   menghantar  bulu tangkis ke jaring dengan tenang.
(13).  Tuan Pengarah  sedang membincangkan isu pendidikan.

Catatan: kejadian’, ‘tangan’, ‘produk ’, ‘bulu tangkis’ dan ‘isu pendidikan’ ialah objek  yang mesti hadir selepas kata kerja transitif.

TOPIK 4

SUSUNAN KONSTITUEN FRASA NAMA BAHASA MELAYU

Peraturan D-M
Kekecualian Hukum D-M
Bilangan dan Panggilan


Peraturan D – M (Hukum D - M)

        Dalam tatabahasa bahasa Melayu, D-M membawa maksud diterangkan (D) dan menerangkan (M). Dalam peraturan ini, unsur yang diterangkan merupakan unsur inti yang hadir pada kedudukan pertama dan unsur menerangkan merupakan unsur penerang yang hadir pada kedudukan yang kedua.

Contoh :
Frasa Nama
Diterangkan (Inti)
Menerangkan (Penerang)
Askar
Budak
Pemain
Penarik
Penghantar
Pensyarah
Pakar
Doktor
Melayu
lelaki
boling
beca
surat
wanita
psikologi
veterinar

Contoh-contoh lain:
 - sos cili   (bukan cili sos)
 - Restoran Ali ( bukan Ali Restoran)
 - Kedai Makanan Rahim ( bukan Rahim Kedai Makan / Kedai Makan Rahim)
-  pisang goreng  (bukan goreng pisang)
-  kentang goreng ( bukan goreng kentang)
-  cakera padat (bukan padat cakera/compact disc)
-   sup kambing  ( bukan kambing sup)
-   nasi goreng   (bukan goreng nasi)

  Kekecualian  Hukum D - M

              Konsep kekecualian wujud dalam kebanyakan bahasa di dunia bagai merasionalkan penggunaan sistem bahasa yang sudah lazim dipakai secara mantap dalam masyarakat pengguna bahasa. Hal yang demikian berlaku disebabkan oleh kecenderungan pengguna bahasa menggunakan sistem bahasa lain bagi bahasa sendiri , seperti sesetengan penguna bahasa  Melayu yang gemar menggunakan sistem bahasa Inggeris sebagai kayu ukur berbahasa.  Lama-kelamaan, keadan itu menjadi perkara lazim dan terhasillah satu fenomena bahasa  yang menyimpang dari rumus tatabahasa dalam konteks hukum     D - M.

Selain itu, kekecualian hukum D - M juga wujud akibat kebiasaan dalam penggunaan, terutama sekali yang melibatkan pada nama-nama jawatan. Kebiasaan ini mewujudkan kelaziman yang semakin diterima penggunaannya dalam masyarakat pengguna bahasa. 

Contoh:
            Penerang (M)
Diterangkan (D)
Perdana 
Ibu 
Naib 
Ketua  
Timbalan  
Naib
Pembantu

Menteri 
Pejabat
Presiden
Hakim
Perdana Menteri
Presiden
Penyelaras

          Namun,  hal ini tidak berlaku  pada frasa  menteri besar, menteri kanan, menteri pengangkutan, imam besar, dan seumpamanya.

Contoh penggunaan dalam ayat:

          (1). Perdana Menteri Malaysia yang pertama ialah YTM Tunku Abdul Rahman.
          (2). Ibu pejabat Kastam  daerah Johor Bahru dipindahkan ke Jalan Aman.
          (3). Ketua Hakim Negara telah bercuti selama dua hari.
          (4). Timbalan Perdana Menteri membuat lawatan kerja ke Syria.
          (5). Jawatan Naib Presiden disandang oleh Dato Hj. Mohd.Ali.
(6).  Naib presiden yang baharu telah berucap dalam majlis perasmian.
(7). Pembantu penyeldik sedang membuat penganalisisan data kajian.



 Bilangan dan Panggilan
       Kata bilangan yang berfungsi sebagai penerang dalam frasa nama boleh wujud di hadapan katan nama inti. (Abdullah Hassan, 2006) Dalam konteks ini, bilangan yang digunakan merujuk kepada unsur numerik yang menjadi penanda kepada jumlah yang difokuskan dalam frasa.

Contoh    :
lima ekor kuda
segolongan kecil peneroka
kelima-lima pendekar silat
sekumpulan penyelidik
segelintir pengundi
sejumlah wang
sebilangan besar pekerja

Contoh ayat:

(1) Lima ekor kuda telah dibeli oleh Haji Tahir.
(2). Segolongan kecil peneroka sudah menanam pokok gaharu.
(3). Kelima-lima pendekar silat itu menunjukkan gaya kepahlawanan.
(4). Sekumpulan penyelidik sudah mendapat elaun khas.
(5). Segelinitr pengundi pilihanraya dilihat berlegar-legar di situ.
(6). Sejumlah wang yang besar diperlukan untuk kos perubatan.
(7). Sebilangan besar pekerja sudah pulang ke kampung.

Secara lebih khusus, kata bilangan boleh dibahagikan kepada enam kumpulan berdasarkan makna (Hashim Hj.Musa, 1993);
i. Kata bilangan tentu
ii.Kata bilangan tak tentu
iii.Kata bilangan  himpunan
iv.Kata bilangan pisahan
v.Kata bilangan pecahan; dan
vi.Kata bilangan tingkatan

Kata Bilangan Tentu
Kata bilangan yang mendukung makna tentu yang menjurus kepada bilangan khusus terdiri daripada angka yang boleh dilambangkan dengan simbol atau huruf abjad.
Contoh:
              satu = 1                        empat   =  IV
               dua = 2                        sepuluh = X 
Contoh ayat:
(26). Konvokesyen  ke-2 telah dilaksanakan pada hari semalam.
(27). Sukan Asia ke-XIV telah mencatat satu sejarah kegemilangan atlet
         Malaysia.
(28). Dollah mendapat tempat ketiga dalam pertandingan nyanyian.
(29). Shakira mempunyai empat ekor anak kucing.
(30)  Hang Tuah memiliki dua ekor kuda putih .

Kata Bilangan Tak Tentu

Kata bilangan yang merujuk kepada jumlah bilangan yang tidak khusus .
Contoh:
Segala, semua , banyak ,sedikit, beberapa, sekalian, sekelompok.
Contoh ayat:
(31). Beberapa orang guru telah ditukarkan ke sekolah pedalaman.
(32). Kegiatan gotong-royong itu disertai oleh semua penduduk kampung.
(33). Segala bantuan yang diberikan oleh pihak sekolah amat dihargai.
Kata Bilangan  Himpunan
Kata bilangan yang merujuk kepada jumlah bilangan yang terhimpun atau terkumpul.
Contoh:
berpuluh-puluh, berbelas-belas, beratus-ratus, beribu-ribu, kedua-dua, kelima-lima, kesemua.
Contoh ayat:
(34). Berpuluh-puluh kenderaan tentera telah bergerak ke sempadan negara.
(35). Kedua- dua peninju itu  telah diberi penghargaan oleh pihak persatuan.
(36). Kesemua mangsa banjir telah dipindahkan ke tempat yang selamat.

Kata Bilangan Pisahan
Kata bilangan jenis pisahan merujuk kepada unsur pemisahan dalam proses memerihalkan bilangan yang menjadi dasar pokok pernyataan. Kata jenis ini juga adalah sejumlah perkataan yang menyokong makna bilangan yang terasing.
Contoh:
masing-masing, setiap, tiap-tiap
Contoh ayat:
(37). Masing-masing ada pendapat yang tersendiri dalam isu  pembangunan
        sukan.
(38).  Setiap hari dilalui oleh Pak Malau dengan hati yang tabah.
(39).  Tiap-tiap pasukan mempunyai ketua yang dilantik oleh pihak pengurusan.

Kata Bilangan Pecahan
Kata bilangan jenis pisahan merujuk kepada unsur pecahan atau pembahagian  daripada jumlah keseluruhannya.
Contoh:
setengah, separuh, sepertiga, segelintir, sebahagian
Contoh ayat:
(40). Setengah daripada kawasan ini adalah milik Tuan Haji Ali.
(41). Sabar itu adalah separuh daripada iman.
(42). Sebahagian daripada ahli-ahli persatuan tidak hadir.

Kata Bilangan Tingkatan
Kata bilangan tingkatan merujuk kepada  sejumlah perkataan yang mendukung makna taraf tingkatan bilangan.
contoh:
pertama, kedua, ketiga , keseribu.

contoh ayat:
(43). Gerai pertama menjadi perhatian pembeli.
(44). Dia mampu meraih tempat kedua sahaja dalam pertandingan tersebut.
(45). Pengunjung keseribu akan diberi hadiah cepu emas.

4.4  Panggilan / Kata Panggilan
Sementara itu, konsep panggilan ( kata panggilan) merupakan unsur frasa nama yang hadir sebelum kata nama inti ( Abdullah Hassan, 2008). Jenis-jenis kata panggilan seperti Tuan, Puan , Tunku, Tun, Haji, Datuk dan seumpamanya lazim digunakan sebelum kata nama inti. Kata panggilan merupakan satu sistem yang digunakan dalam bahasa Melayu bagi tujuan penghormatan, pengiktirafan ataupun penentuan identiti secara lebih khusus.
Contoh:
Datuk Maharaja Lela                                Profesor Ungku Aziz
Datuk Sagor                                              Tunku  Kamalia
Haji Abdul Rahman Limbong                 Syed  Zain Barakbah
Tuan Adam                                               Sharifah Mona Alsagoff
Puan Mastura  Chong                               Tan Sri Malik Kamal
Contoh ayat :
(46). Datuk Maharaja Lela ialah seorang pejuang yang menentang Inggeris di
         Perak.
(47).Profesor Ungku Aziz merupakan seorang pencetus idea penubuhan tabung
         pengurusan haji di Malaysia.
(48). Datuk Sagor harus diingati sebagai seorang pahlawan.